Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Mohon Guna Wang Untuk Bayar Gaji

UMNO Mohon Guna Wang Untuk Bayar Gaji

KUALA LUMPUR, UMNO akan menghantar surat rayuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bagi membolehkan parti itu mengeluarkan sejumlah wang bagi membayar kos pentadbiran parti dan gaji kakitangan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata setiap bulan, parti itu membelanjakan lebih RM1 juta untuk kos pentadbiran parti termasuk gaji kakitangan membabitkan lebih 300 orang.

“Surat sudah siap dan kita akan rayu supaya (SPRM) benarkan kita mengeluarkan duit pentadbiran kerana kita ada pekerja yang gajinya barangkali RM2,000 atau RM3,000 sebulan.

“Jika tidak dapat keluar duit ini, bagaimana kita mahu bayar gaji anak buah yang bekerja dengan UMNO? Jadi, saya sudah minta kalau boleh dipermudahkan (pengeluaran).

“Bukan semua jumlah kita mahu keluarkan tapi setiap bulan, kita minta diberikan wang untuk pentadbiran. Kita akan akur dengan apa yang diputuskan (SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Badan Amal Kasih Ibu Bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya di sini, hari ini.

Khamis lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Sumber turut memberitahu bahawa 900 akaun dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB termasuk milik UMNO serta individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Ahmad Zahid dipetik berkata, beliau sudah mengarahkan Tengku Adnan dan barisan peguam UMNO untuk membuat rayuan bagi membolehkan sebahagian akaun yang dibekukan itu dapat digunakan untuk tujuan pembayaran gaji, sewaan dan pentadbiran.

Leave a Reply

Top