Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Masih Terumbang-Ambing

UMNO Masih Terumbang-Ambing

KOTA BHARU, UMNO Kelantan mengakui parti itu masih terumbang-ambing dan semakin hilang kekuatan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman, bagaimanapun berkata, situasi keluar parti membabitkan pemimpin UMNO adalah perkara biasa memandangkan parti itu bukan lagi mewakili kerajaan.

Katanya, buat masa ini ia bergantung kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing sama ada mahu kekal atau sebaliknya, namun lima tahun lagi terserah kepada rakyat untuk menentukannya.

“Isu keluar parti membabitkan pemimpin UMNO seperti yang berlaku di Sabah bukan perkara mengejutkan, lebih-lebih lagi UMNO Sabah adalah anak bongsu dalam parti.

“Apa yang mahu dihairankan kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri lompat parti, apatah lagi pemimpin bawahan.

“Namun, kita akui perkara itu berlaku kerana masing-masing ada kepentingan tersendiri memandangkan UMNO bukan lagi parti kerajaan,” dipetik sebagai berkata.

Akhbar sebelum ini melaporkan, UMNO Sabah terima tamparan hebat apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Leave a Reply

Top