Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohd Kamil Shafie pada Khamis mengecam tindakan pembangkang yang memasang papan tanda iklan berunsurkan fitnah di sekitar Kuala Kangsar dan Manong dalam kempen mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau berkata papan iklan berunsur fitnah itu dilihat memetar belit sesuatu perkara dalam usaha mereka meraih undi.

“Contohnya satu papan iklan yang menfitnah bahawa Jambatan Manong sudah tiga kali pecah tanah sedangkan tidak pernah dilakukan pecah tanah, ini merupakan satu polemik untuk mendapat sokongan rakyat semata-mata,” katanya kepada pemberita di Pusat Media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan BN telah lama berjuang untuk mendapatkan jambatan itu tetapi ia bukan perkara mudah kerana memerlukan perancangan dan penelitian.

Bagaimanapun beliau berkata BN belum membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang mengadakan ceramah ketika waktu berbuka beliau berkata pihak terbabit sepatutnya menghormati kesucian bulan Ramadan ini.

“Ada masa selepas tarawih untuk berkempen. Kenapa tidak guna waktu itu untuk mengadakan ceramah,?” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata terdapat beberapa papan tanda yang tidak mengikut peraturan telahpun diturunkan.

“Sekiranya berunsur provokasi pihak pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan mengambl tindakan menurunkannya,” katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *