Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Hanya Perlukan Ahli Yang Setia

UMNO Hanya Perlukan Ahli Yang Setia

KUALA LUMPUR, UMNO sudah melakukan pemutihan keahlian dan mereka yang didapati belot, sudah dinyahkan daripada parti itu.

Mengumumkan perkara itu, Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata UMNO mahukan hanya ahli yang setia terus berjuang bersama dalam parti dan mereka yang belot sudah dinyahkan.

Katanya, proses membuang ahli yang belot dilaksanakan melalui proses pemutihan keahlian yang bermula sejak Oktober tahun lalu dan berakhir pada 15 Februari tahun ini.

“Daripada proses pemutihan keahlian ini, hampir 10 peratus ahli dibersihkan yang mana dua peratus dikesan menjadi ahli parti lawan, empat peratus menyokong parti lawan tidak setia ketika PAU lalu, empat peratus ahli meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Setiausaha Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019, hari ini.

Beliau menjelaskan selepas melalui pelbagai proses termasuk pemutihan, dilaporkan jumlah ahli biasa UMNO sehingga semalam (5 Disember) adalah 3,292,667 ahli di 22,156 cawangan UMNO di seluruh negara.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pelancaran portal pendaftaran ahli UMNO secara dalam talian dimulakan sejak 6 Mei lalu yang mana sehingga kini seramai 11,363 orang sudah mendaftar masuk.

“UMNO telah mewujudkan sistem memproses keahlian yang dibuat di bahagian dan di bawah sistem ini, UMNO telah menerima 28,000 ahli baharu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan UMNO sedang membangunkan kerangka utama (Blueprint) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) dengan kerjasama setiap negeri.

“Blueprint ini akan mengatur secara strategik, segala langkah terperinci menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Insya-Allah. Blueprint ini menjadi asas pelan tindakan Muafakat Nasional yang sedang diusahakan bersama PAS dan lain-lain,” katanya.

Leave a Reply

Top