Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Umno Dan Pas Jangan Menahan Lukah Di Pergentingan

Umno Dan Pas Jangan Menahan Lukah Di Pergentingan

Isu penggunaan tulisan khat Jawi pada tahun hadapan disemua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah JenisKebangsaan Tamil (SJKT) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) telah menambat perhatian semua pihak termasuklah Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

Malah, pada masa ini, isu penggunaan tulisan khat Jawi masih lagi berada dalam konteks perbincangan masyarakat sehingga membuatkan berita-berita lain terpelanting.

Saya kira ini satu petanda yang baik agar tulisan Jawi mampu berdiri semula dan tidak pupus disebabkan perubahan zaman dan transisi kehidupan masyarakat Melayu yang semakin moden.

Bukan apa, kita seringkali disentak dengan kata kata ‘luahan’ Jawi sendiri sebagaimana berkata:

‘’aku adalah tulisan mati yang dibunuh oleh bangsaku sendiri,’’

Justeru, usaha kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu darjah empat harus diterima sebulat suara bagi memastikan nilai tulisan bahasa Melayu yang asalnya dalam bentuk Jawi kekal terpelihara.

Walau hakikatnya, kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak terutamanya Dong Jiao Zong yang sudah jelas tidak menyokong setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan sejak dulu lagi.

Bermula dengan isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) ke universiti awam yang menjadi perjuangan pertubuhan ini, kini, penggunaan tulisan khat Jawi yang hanya berjumlah enam muka surat daripada 162 halaman pula ditentang habis-habisan.

Pertubuhan ini semakin lama semakin menunjukkan taringnya. Jika dimanjakan boleh pijak kepala. Adakah dengan membaca dan menulis huruf Jawi ini akan mengislamkan kesemua kaum selain dari kaum Melayu?

Penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks ini sudah pun diguna pakai sejak 2016 dan tidak pun membebankan sesiapa sama ada guru atau murid kerana ia tidak dijadikan sebagai satu sistem berasaskan peperiksaan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya perlu memberi nilai tambah dan meneliti secara menyeluruh dalam kurikulum tulisan khat Jawi agar ia menjadi satu seni tulisan yang indah dan disukai.

UMNO, PAS jangan ambil kesempatan 

Umum mengetahui, PH terdiri daripada empat entiti yang menjadikan siapa kerajaan Malaysia hari ini; BERSATU, DAP, AMANAH dan PKR.

Dalam soal tulisan khat Jawi, penentangan terhadap tulisan ini hanyalah sebahagian besar dari parti DAP, Ahli Parlimen dan persatuan Cina. Justeru, keadaan ini mewujudkan ketegangan antara semua parti untuk mencapai satu kata putus terhadap pelaksanaan penggunaan tulisan khat Jawi di semua sekolah.

UMNO dan PAS melihat isu ini sebagai satu peluang untuk menunjukkan mereka lebih baik daripada PH dalam memperjuangkan tulisan Jawi dan survival Melayu.

Kiranya, pihak pembangkang ibarat menahan lukah dipergentingan yang mengambil kesempatan dalam sesuatu kesusahan. Malah UMNO dan PAS dilihat seolah-olah ingin memarakkan lagi hubungan antara ke empat-empat parti komponen kerana DAP juga kunci kekukuhan dalam PH.

Persoalan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri, Badzli Bakar mengenai di mana wakil rakyat kerajaan beragama Islam dalam memperjuangkan kurikulum tulisan khat dan Jawi ini adalah sesuatu yang tidak wajar.

Hal ini kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak ada masalah jika kurikulum ini dilaksanakan kerajaan kerana beliau sedar, sebagai orang Melayu, sudah pasti Tun inginkan yang terbaik demi kelangsungan Melayu yakni menerusi tulisan khat jawi ini.

Malah Menteri Pendidikan sendiri, Dr. Maszlee Malik berkata pengenalan tulisan khat bertujuan untuk pelajar sekolah mengenali identiti dan warisan negara Malaysia.

Maka, identiti dan warisan apa yang Dong Jiao Zongpegang selaku rakyat Malaysia selain dari menjadi batu penghalang terhadapaspirasi kerajaan?

Sosial masyarakat 

Masalahnya hanya pada persatuan dan mereka yang menentang. Sudahlah bersekolah sendiri dan tidak bersandar kepada DasarPendidikan Kebangsaan, tulisan Jawi pula yang dimomokkan atas alasan tiada kelangsungan.

Jika inilah yang berlaku, pembentukan negara bangsa dan masyarakat berbilang kaum dan bersatu padu hanyalah kata-kata yang dijual di bibir yang manis.

Lantas, objektif Dong Zong sendiri untuk memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum sudah bercanggah dengan tindakan mereka sendiri.

Kerana sudah jelas, untuk mengenali identiti negara Malaysia melalui tulisan Jawi pun mereka tidak ingin. Justeru, bagaimana pula dengan usaha untuk memastikan setiap kaum di negara ini hidup bermuafakat jika perkara seperti ini pun tidak mencapai kata sepakat?

Apa yang pasti, penggunaan tulisan khat dan Jawi ini seharusnya tidak dilihat sebagai masalah besar kerana kementerian pendidikan tahu apa yang harus dilakukan demi memastikan setiap murid di sekolah mendapat ilmu berteraskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Jawi merupakan warisan bangsa Melayu yang perlu dipelihara. Meskipun tulisan bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, namun Akta Kebangsaan 1967 tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang dikenali dengannama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan.

MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN

Kuala Lumpur

Leave a Reply

Top