MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO, BERSATU, PAS Mulakan Rundingan

UMNO, BERSATU, PAS Mulakan Rundingan

KUALA LUMPUR, Pemimpin UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS sudah memulakan rundingan mencari penyelesaian, berhubung kerjasama tiga parti itu.

Sehubungan itu, Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata Muafakat Nasional (MN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini berkaitan rundingan itu.

“Saya gembira mendapat tahu wakil UMNO dan BERSATU sudah pun memulakan rundingan. Begitu juga dengan PAS.

“Insya-Allah Isnin ini MN bermesyuarat. Semuanya dalam suasana “anak beranak.” Kita doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Selasa lalu, UMNO meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, melalui kenyataan medianya berkata, parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.