Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Bahagian Terima Semula Dana Bulanan

UMNO Bahagian Terima Semula Dana Bulanan

KOTA KINABALU, Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian akan menerima semula agihan dana yang disalurkan ibu pejabat parti itu bagi menampung kos pengurusan dan aktiviti, mulai semalam.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat berikutan kesukaran UMNO negeri dan bahagian, termasuk sayap parti di peringkat bahagian menjalankan aktiviti disebabkan ketiadaan dana.

Beliau berkata, masalah itu berlaku selepas penyaluran dana kepada badan perhubungan UMNO negeri dan bahagian dihentikan baru-baru ini dengan masing-masing diarah supaya menggunakan dana masing-masing.

“Ia adalah dana ibu pejabat UMNO yang kita salur kepada badan perhubungan negeri, bahagian dan sayap bahagian. Setiausaha UMNO sebelum ini mengeluarkan pekeliling untuk menghentikannya kerana kita mahu bahagian menghidupkan aktiviti melalui dana masing-masing.

“Bagaimanapun, kemampuan kewangan di peringkat sayap dan bahagian tidak begitu kukuh, maka ibu pejabat UMNO meneruskan pemberian dana bagi menampung kos pentadbiran dan penggajian serta menjalankan aktiviti parti,” katanya kepada media selepas perjumpaan bersama pemimpin dan ahli UMNO Sabah di sini, pada rabu.

Turut hadir, Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan beberapa calon jawatan tertinggi parti, termasuk calon Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Dalam hal lain, Ahmad Zahid yang bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Sabtu ini menegaskan, tidak wujud amalan berpuak-puak disebabkan pemilihan parti yang menyaksikan ramai calon menawarkan diri merebut pelbagai jawatan.

Beliau berkata, UMNO adalah sebuah pasukan dan semua pemimpinnya, termasuk yang menawarkan diri bersamanya dalam pemilihan jawatan Presiden serta jawatan lain, dianggap sebagai satu pasukan.

Katanya, ini kerana pemilihan itu adalah satu pertandingan kekeluargaan ke arah misi yang sama iaitu untuk mengukuhkan parti.

“Mana-mana calon, termasuk untuk jawatan presiden yang tawar diri dan tidak berjaya saya akan terus bawa dalam bahtera UMNO. Ini kerana apabila menawarkan diri (bertanding) ia adalah untuk terus menghidupkan UMNO.

“Kita akan bersama duduk semeja fikir jalan terbaik yang kita akan lakukan untuk masa depan UMNO,” katanya.

Sementara itu, katanya, UMNO Sabah mampu berdepan cabaran sebagai parti pembangkang yang berkesan berdasarkan pengalaman parti itu yang pernah berdepan situasi sama sebelum kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) pada 1990-an.

Ahmad Zahid berkata, situasi itu menanam DNA atau sifat sebagai pembangkang dalam UMNO Sabah untuk sekali lagi berdepan situasi sama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Insya-Allah DNA di Sabah ini akan membolehkan UMNO berdepan situasi semasa sebagai pembangkang dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

Top