MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO Akan Pinda Perlembagaan Parti

UMNO Akan Pinda Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR, UMNO akan meminda beberapa Fasal dalam Perlembagaan parti berkait kedudukan sayap wanita, keahlian ahli bersekutu dan autonomi politik Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan dilakukan bagi memastikan kelangsungan politik parti itu.

Katanya, pindaan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu bagi memenuhi kehendak ahli serta usaha pembaharuan nilai dalam parti.

“Pindaan ini dilakukan untuk memastikan kelangsungan bahtera UMNO belayar megah walaupun dilanda ombak, badai mahupun tsunami politik. Kita bertanggungjawab penuh untuk merekayasa UMNO sesuai dengan kemahuan dan aspirasi rakyat.

“Justeru UMNO perlu mempercepatkan pembaharuan nilai, ideologi dan pemikiran politik. Kita pernah terperangkap dalam pemikiran dan budaya politik kurun ke-20 yang menghindari idea bernas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak.

Menyertai mereka ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Difahamkan, antara bentuk pindaan itu adalah memansuhkan perkataan ‘Pergerakan’ dalam wanita UMNO dan meletakkan kedudukan wanita setaraf Timbalan Presiden parti, berbanding Naib Presiden sebelum ini.

Pindaan juga menyentuh berkenaan autonomi yang akan diberi kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah termasuk dalam pemilihan jawatan utama UMNO negeri serta pemilihan calon pilihan raya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO harus bersedia meninggalkan budaya negatif demi untuk melangkah ke hadapan menghadapi cabaran mendatang.

“Arus modenisasi mengubah masyarakat tradisional Melayu kepada masyarakat yang bersifat lebih terbuka dan berlainan paradigmanya.

“Jika dulu pendukung kuat UMNO terdiri daripada kalangan orang Melayu luar bandar, hari ini penduduk luar bandar hanyalah sekitar 24 peratus jumlahnya.

“Ini berikutan proses urbanisasi sebagai sebahagian proses modenisasi yang perlu disantuni oleh UMNO,” katanya.

Katanya, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, antara usaha parti dalam keterangkuman tenaga pemimpin berpengalaman untuk terus menyumbang kepada parti.