“Setahun yang lalu setelah UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14, kita berada dalam keadaan kucar-kacir. Namun selepas setahun, kita sudah kembali pulih dan kini dalam fokus memperkasakan parti dengan hasilnya kita sudah lihat dalam beberapa pilihan raya kecil terakhir.

“Kini PKR pula yang sedang hebat bergolak. Begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akibat isu dalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat di Jenjarum di sini malam semalam.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop; Timbalannya, Yahya Mustafa; Naib Ketua Bahagian, Abdul Razak Kasbolah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, UMNO sudah membuktikan bahawa hasil kesatuan kesemua ahli, parti terbesar orang Melayu itu tidak akan terkubur sebagaimana ramalan parti lawan.

Sementara itu, ditanya mengenai isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau berkata, semua pihak perlu menyerahkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“Biarlah parti lawan dengan isu dalaman mereka, ahli-ahli UMNO khususnya Pemuda perlu fokus untuk memastikan parti kita terus kukuh untuk memenangi PRU-15 kelak,” katanya.