Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Akan Dirombak

UMNO Akan Dirombak

KUALA LUMPUR, Umno di bawah kepimpinan dan pentadbiran baharu bakal mengalami beberapa rombakan di peringkat jawatan tertentu dalam parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa jawatan baharu dan perubahan jawatan juga bakal dilakukan dalam masa yang sama.

“Saya juga ingin menyebut bahawa dalam pentadbiran baharu kepimpinan yang telah ditentukan oleh para perwakilan, kita akan adakan beberapa rombakan utama.

“Bagi jawatan pegawai-pegawai di peringkat majlis tertinggi dan juga jawatan-jawatan yang difikirkan sesuai untuk diwujudkan atau diberikan penyesuaian perubahan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, aku janji yang ditawarkan oleh calon jawatan presiden juga akan diteliti dan dinilai untuk dilaksanakan sebagai transformasi Umno secara keseluruhannya.

“Saya melihat bahawa perubahan yang sedang dirangka termasuk semua aku janji yang telah dibuat oleh calon-calon presiden termasuk saya sendiri yang menawarkan 15 aku janji selain lapan daripada Khairy Jamaluddian serta tujuh daripada Tengku Razaleigh Hamzah.

“Semua aku janji ini akan diteliti oleh saya sendiri dan timbalan presiden serta naib-naib presiden dan kita akan melakukan wacana untuk melihat sama ada keseluruhan transformasi yang dijanjikan oleh tiga calon ini akan dapat diteliti dan perlaksanaannya akan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peranan pesaingnya bagi jawatan presiden iaitu Khairy dan Tengku Razaleigh juga akan dinilai bagi bersama-sama mengorak langkah membuat pembaharuan parti Melayu itu.

“Saya juga akan melihat kepada peranan yang akan dimainkan oleh kedua-dua calon presiden yang tidak berjaya memenangi jawatan ini, di mana saya berjanji untuk membawa dan memberikan mereka tanggungjawab bersama-sama saya dalam membuat pembaharuan dalam Umno.

“Bagi jawatan ini sudah tentunya saya perlu mengadakan rundingan dengan sahabat saya yang lain dan saya akan kemukakan kepada peringkat Majlis Tertinggi setelah rundingan diadakan,” katanya.

Leave a Reply

Top