MH Online

Laman Suara Rakyat

Umat Islam Kecewa Dengan Kenyataan Mat Sabu

Umat Islam Kecewa Dengan Kenyataan Mat Sabu

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu diminta menarik semula kenyataannya secara terbuka yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pelarian.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bangun selepas Natrah Ismail (PH-Sekijang) selesai berbahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dengan menggunakan peraturan mesyuarat 36 kerana menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau melanggar syarat dalam Akta Hasutan 1948.

Shahidan berkata, umat Islam kecewa dengan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu kerana semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah selepas mendapat wahyu daripada Allah.

“Nabi bukan pergi berlari (pelarian) ke sana namun dijemput dan dilantik menjadi pemimpin utama sebelum ditubuhkan Piagam Madinah di mana rujukannya adalah al-Quran dan hadis.

“Nabi juga bukan pergi ke negeri lain cuma dalam negara Hijaz (wilayah di sebelah barat laut Arab Saudi) iaitu Makkah dan Madinah, iaitu antara bandar ke bandar,” katanya.

Shahidan kemudian meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk membuat keputusan mengenainya.

Mohd Rashid dalam keputusannya meminta Shahidan supaya menulis kepada Yang Dipertua untuk dibuat tindakan susulan berikutan Ahli Parlimen Kota Raja tidak berada di dalam dewan.

Shahidan kemudiannya menyatakan bahawa dalam kes menyentuh mengenai peraturan mesyuarat 36 dan Akta Hasutan ini, tindakan pantas harus dilaksanakan, sekali gus tidak boleh menunggu untuk menulis surat.

Mohd Rashid menyuruh Shahidan untuk duduk berikutan keputusan sudah dibuat.