MH Online

Laman Suara Rakyat

UK Beri Vaksin Kepada Kanak-Kanak Golongan Rentan

UK Beri Vaksin Kepada Kanak-Kanak Golongan Rentan

LONDON, Britain akan memberi vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak golongan rentan secara klinikal, kata pihak kerajaan semalam, bagaimanapun ia tidak membabitkan semua golongan itu berdasarkan kajian kemungkinan terdapat kesan sampingan.

Remaja berusia 12 hingga 15 tahun dengan mengalami kecacatan neuro yang teruk, sindrom down, imunosupresi dan ketidakupayaan pembelajaran layak mendapat vaksinasi, kata Menteri Vaksin COVID-19 United Kingdom (UK), Nadhim Zahawi.

Zahawi memberitahu Parlimen, langkah itu adalah berdasarkan nasihat Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI).

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid, berkata beliau menerima cadangan berkenaan.

“Saya sudah meminta Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) untuk bersiap sedia memberi vaksinasi kepada mereka yang layak secepat mungkin”.

Pengawal Selia Ubat-Ubatan Britain sudah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas, kata Javid yang kini melakukan kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat individu dijangkiti COVID-19.

“Kita belum mengesyorkan pemberian vaksin kepada mereka di bawah usia 18 tahun yang mempunyai tahap kesihatan baik buat masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, JCVI akan terus mengkaji data baharu dan mempertimbangkan untuk memberi vaksinasi kepada golongan berkenaan pada masa depan,” katanya.

Kadar inokulasi di Britain sudah hampir 70 peratus membabitkan golongan dewasa, bagaimanapun kini menghadapi penularan virus baharu, varian Delta yang pertama kali dikesan di India.

Zahawi turut memberi amaran bahawa ‘angka kes akan bertambah buruk, sebelum bertambah baik’.

Program vaksinasi juga berjalan perlahan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dengan golongan muda dilihat lebih enggan untuk menerima suntikan. – AFP