MH Online

Laman Suara Rakyat

UEC Bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan

UEC Bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan

KUALA LUMPUR, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) secara konsisten mengulangi pendirian menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata dasar pendidikan antara lain menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum sama yang berorientasikan Malaysia serta sistem peperiksaan yang sama bagi semua.

“Sesungguhnya dasar pendidikan ini adalah dasar yang saksama buat semua warganegara Malaysia.

“Justeru GPMS yakin dan percaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menangani tuntutan yang sudah dibuat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zhong) sejak sekian lama dengan penuh hemah dan rasional serta berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi masyarakat bersatu padu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Alif Anas berkata, pihaknya mengambil maklum pertemuan Perdana Menteri dengan Hua Zhong di bangunan Parlimen, semalam.

“Pertemuan itu antara lain menunjukkan sikap keterbukaan Muhyiddin dalam menerima pandangan dan cadangan semua pihak tanpa mengira kaum dan jelas membuktikan beliau adalah Perdana Menteri buat semua warganegara Malaysia.

“Komitmen yang diulangi beliau untuk membangunkan Malaysia pasca bencana COVID-19 menerusi pembabitan semua pihak juga sememangnya wajar disambut baik,” katanya.

Hua Zhong menerusi kenyataannya semalam, memaklumkan tuntutan pengiktirafan UEC adalah antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu.