MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Ubah Sikap Di Dewan Rakyat’

'Ubah Sikap Di Dewan Rakyat'

KUALA LUMPUR, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, meminta supaya semua Ahli Parlimen membuka ‘buku baharu’ dan mengubah sikap, menjelang persidangan akan datang pada November ini.

Beliau turut menitipkan nasihat supaya peraturan mesyuarat yang menjadi panduan perjalanan persidangan Dewan Rakyat bukan sekadar dibaca, sebaliknya dihayati secara keseluruhannya.

“Saya ingin nasihatkan supaya kalau boleh kita bukan saja membaca peraturan mesyuarat, tetapi menghayati. Marilah kita adakan persidangan dalam dewan ini dengan harmoni.

“Kualiti perbahasan yang baik, kupas isu berkenaan usul itu, agar kita manfaatkan masa di sini. Ramai kata tak cukup masa berbahas, tapi saya rasa ia cukup, cuma tak gunakan dengan sewajarnya,” katanya sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14, melabuhkan tirai, hari ini.

Selari usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hanya bersidang sehari pada 18 Mei lalu, dengan pembukaan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mesyuarat kedua pula diadakan selama 25 hari mulai 13 Julai dengan penerapan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, susulan pandemik COVID-19.

Dewan Rakyat akan kembali bersidang selama 27 hari mulai 2 November depan, antaranya bakal menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 4 November.