Delegasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlepas untuk lawatan rasmi pertama ke Israel hari ini selepas kedua-dua negara setuju untuk memulihkan hubungan bulan lalu.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin, yang menghadiri majlis makan malam bersama pegawai UAE dan Israel di Abu Dhabi semalam, mengiringi delegasi itu menaiki penerbangan Etihad Airways.
“Pagi ini, UAE bersiap sedia menghantar delegasi rasmi pertama ke Israel,” kata pengarah komunikasi strategik kementerian luar, Hend Al Otaiba menerusi Twitter.
Menurut beliau, delegasi UAE diketuai Menteri Hal Ehwal Kewangan, Obaid Al Tayer dan Menteri Ekonomi, Abdulla Touq Al Mari.
UAE dan Israel menandatangani perjanjian dipelopori AS untuk memulihkan hubungan di Rumah Putih pada 15 September lalu, menjadikannya usaha pertama seumpamanya membabitkan negara Teluk.
Kedua-dua kerajaan juga dijadualkan menandatangani perjanjian hari ini membenarkan 28 penerbangan komersil dua hala setiap minggu, kata Kementerian Pengangkutan Israel. – AFP
Berita lain
Australia Ubah Lagu Kebangsaan Iktiraf Kaum Pribumi
Petugas Kesihatan AS Alami Alergi Serius Selepas Divaksin
Conte Tolak Tekanan Untuk Istihar Darurat