MH Online

Laman Suara Rakyat

Turki Tidak Akan Benarkan Militan DAESH Tinggalkan Syria

Turki Tidak Akan Benarkan Militan DAESH Tinggalkan Syria

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk tidak membenarkan mana-mana pejuang Daesh melarikan diri dari utara Syria, dalam ruangan editorial diterbitkan semalam, susulan kebimbangan negara Barat berhubung tentangannya di rantau itu.

“Kami akan memastikan tiada pejuang ISIS (Daesh) meninggalkan kawasan timur laut Syria,” tulis Erdogan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Namun beliau menambah, negara Barat bersikap hipokrit kerana bimbang operasi Turki menentang pasukan Kurdis berisiko menyebabkan militan Daesh terlepas secara beramai-ramai.

“Negara sama yang sibuk mengajar Turki mengenai nilai memerangi ISIS hari ini, gagal menghalang kemasukan pejuang pengganas asing pada 2014 dan 2015,” tulis Erdogan.

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Turki kelmarin ketika ia menuntut negara itu menamatkan operasi ketenteraan, menuduh sekutu NATO itu meletakkan nyawa orang awam berisiko dan membenarkan militan terlepas.

Pihak berkuasa Kurdis mendakwa, serangan Turki menjadikannya sukar mengekalkan kawalan keselamatan di pusat tahanan mereka.

Mereka mendakwa, 800 anggota keluarga Daesh melarikan diri dari sebuah kem di Ain Issa Ahad lalu dan lima militan bolos dari penjara lain pada Jumaat.

Turki pula mendakwa, pasukan Kurdis sengaja membebaskan tahanan untuk mencetuskan huru-hara di kawasan itu. Sesetengah saudara mara keluarga Daesh membuat dakwaan sama kepada AFP.

Ankara berikrar mengambil alih kawalan kesemua pusat tahanan dalam kawasan operasinya.

“Kami bersedia bekerja sama dengan negara sumber dan pertubuhan antarabangsa berkaitan pemulihan isteri dan anak-anak militan pengganas asing,” tulis Erdogan di WSJ. -AFP