Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Turap Jalan Kaedah Baru Kurangkan Kos Penyelenggaraan

Turap Jalan Kaedah Baru Kurangkan Kos Penyelenggaraan

Penggunaan kaedah baharu bagi tujuan turapan jalan raya di negara ini dijangka dapat mengurangkan kos penyelenggaraan sehingga 30 peratus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kaedah baharu tersebut seperti asphalt terubah suai getah bekuan atau pun ‘cup lump modified asphalt’ (CMA), Cold In Place Recycling (CIPR) dan ‘polymer modified asphalt’ (PMA) memberi hasil yang lebih baik selain meningkatkan kualiti jalan raya.

“Kaedah baharu ini antara usaha yang dibuat oleh kementerian bagi meningkatkan kualiti jalan raya di negara ini termasuk di Sabah dan mengurangkan kos penyelenggaraan berbanding kaedah konvensional sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang meminta kementerian menyatakan langkah proaktif untuk membaik pulih keadaan jalan raya utama di Sabah yang menghubungkan satu daerah dengan daerah lain bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Mengulas lanjut, katanya, selain penggunaan kaedah baharu, kementerian sentiasa memantau prestasi syarikat konsesi melalui aktiviti lawatan pemantauan sebanyak tiga kali setahun dan mesyuarat penyelarasan pemantauan jalan persekutuan sebanyak empat kali setahun.

Menjawab soalan tambahan Juslie mengenai pemantauan keselamatan jalan-jalan yang melibatkan cerun bahaya dan berisiko, Rosnah berkata kementerian telah menghasilkan peta bahaya dan risiko cerun di mana data jalan dan cerun terlibat telah diklasifikasikan mengikut kategori iaitu tinggi, sederhana dan rendah.

“Selain itu kita juga melaksanakan pemetaan cerun menggunakan teknologi terkini termasuk Light Detection and Ranging (LiDAR) iaitu maklumat berkaitan inventori dan juga profil cerun , selain pemantauan melalui udara,” katanya.

Leave a Reply

Top