Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tumpu Pada Isu Lebih Serius

Tumpu Pada Isu Lebih Serius

OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Setiap hari ada sahaja isu baharu yang boleh dijadikan modal perbincangan dan perbahasan di antara kita semua. Isu tentang politik dan agama semestinya akan sentiasa menjadi  topik yang sentiasa panas. Setiap hari ada sahaja topik yang dibangkitkan hinggakan baru-baru ini perkataan seperti “boikot” menjadi asas kepada perbincangan yang hangat , baik di meja kopi atau di media sosial.

Namun dalam keghairahan kita memberikan pandangan dan pendapat dalam isu-isu semasa ini, kita tidak harus lupa untuk terus memberikan fokus kepada  salah satu isu yang sudah lama dibincangkan iaitu tentang kadar kemiskinan di negara kita.

Baru-baru ini Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston mendakwa kadar kemiskinan di negara kita ini  lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan oleh kerajaan. Alston menjelaskan yang  Malaysia perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan. Katanya, garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan untuk 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari terlalu rendah kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

Menurut pakar ekonomi itu lagi,  kemiskinan sebenar di Malaysia jauh lebih tinggi, iaitu hampir sama dengan negara lain,  iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.Dalam hal ini pastinya ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Daripada maklum balas beberapa tokoh ekonomi, ada yang berpendapat , Laporan dari PBB itu tidak menepati konteks dan boleh mengelirukan masyarakat.

Biarpun ada pendapat yang tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan ini, namun pada masa yang sama tidak ada salahnya untuk kita melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu  diperhalusi dan diberikan keutamaan serta dibincangkan dengan lebih meluas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan yang  kerajaan akan mengkaji laporan dari pakar ekonomi PBB ini dan tidak mempunyai masalah untuk menyemak semula kaedah mengukur tahap kemiskinan rakyat di negara ini sekiranya diperlukan.Ini merupakan satu maklum balas yang positif dan membuktikan yang negara kita sentiasa terbuka kepada sesuatu perkara yang boleh memberikan kebaikan kepada kita semua.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim , memberikan pendapat yang kerajaan perlu mengkaji laporan dari PBB  ini dengan positif dan terbuka. Bagi beliau,laporan PBB itu satu kejutan, “tetapi kalau kita turun ke bawah, tak adalah terkejut sangat sebab kemiskinan ketara berlaku dalam kalangan masyarakat terutama petani, nelayan, penjaja dan pekerja ladang di estet”

Sungguhpun begitu Anwar menegaskan bahawa  laporan itu tidak menggambarkan yang kerajaan telah gagal dalam membasmi kemiskinan apabila peruntukan besar disediakan antara RM26 bilion hingga RM28 bilion setahun bagi melaksanakan pelbagai program menangani kemiskinan.

Itu sebabnya menurut beliau lagi, isu ini  harus mengundang tindakan daripada kita semua  dalam memastikan langkah membasmi kemiskinan di negara ini dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Anwar, Kita tidak harus terperangkap dengan kerangka pemikiran lama kerana yang kita mahu ialah satu dasar ekonomi yang boleh membantu mengurangkan beban masyarakat miskin terpinggir, yang majoritinya orang Melayu dan Bumiputera.

Mungkin apa yang dicadangkan ini merupakan satu usaha yang lebih berani yang boleh memberi manfaat kepada golongan miskin di negara ini yang mana majoritinya masih lagi dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Apa yang pasti cadangan seperti ini, perlu diperhalusi dan difikirkan dengan lebih serius. Pastinya kita tidak boleh menafikan tentang kerisauan dan keresahan rakyat berhubung kos sara hidup  serta perkembangan ekonomi di negara kita. Itu sebabnya juga segala  cadangan dan usaha oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan perlulah mendapat maklum balas yang cepat dari semua pihak agar usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Shahbudin Embun 

Pengerusi Biro Politik

Majlis Perundingan Melayu Malaysia

 

Leave a Reply

Top