Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tukar Pasport Percuma Kepada Mangsa Banjir

Tukar Pasport Percuma Kepada Mangsa Banjir

JOHOR BAHRU, Mangsa banjir yang kehilangan atau pasport rosak akibat bencana itu boleh membuat pasport baharu secara percuma sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya prihatin dengan mangsa banjir dan ada di antara mereka mungkin tidak sempat menyelamatkan dokumen penting itu.

“Kami faham mereka kerugian banyak harta benda dan ini cara kami membantu. Kami beri peluang mangsa banjir untuk membuat pasport secara percuma namun ada beberapa syarat dikenakan.

“Pertama mereka perlu membuat laporan polis dan berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus membuktikan mereka adalah mangsa banjir.

“Beberapa perkara lain bergantung kepada jenis pasport, penjelasan boleh diperoleh di pejabat imigresen apabila mereka datang membuat pasport baharu,” katanya selepas Perhimpunan Setia Berjasa bulanan Jabatan Imigresen Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, rakyat Malaysia boleh berbangga apabila pasport terbaharu yang dilancarkan November lalu menerima Anugerah Dokumen Keselamatan Terbaik Peringkat Asia, pada 4 Disember lalu.

Menurutnya, antara faktor kemenangan itu termasuklah ciri-ciri keselamatan terbaik pada pasport berkenaan dan tertera prinsip rukun negara di dalam dokumen berkenaan.

“Kejayaan ini susulan Anugerah Perkhidmatan Imigresen Terbaik Dunia (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) yang dimenangi sebelum ini dan kami komited membaiki segala kelemahan sedia ada.

“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai supaya jangan memarahi Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya mereka disenarai hitam dan tidak boleh keluar negara, sebaliknya berbincang dengan agensi berkaitan yang mendapatkan perintah mahkamah itu.

“Jabatan Imigresen hanya menjalankan tugas seperti mana diarahkan mahkamah, sebagai contoh sebelum ini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan nama yang disenarai hitam dan mendapat perintah mahkamah, kami (Jabatan Imigresen Malaysia) hanya melaksanakan tugas tidak membenarkan mereka keluar,” katanya.

Menurutnya, PTPTN tidak lagi mengeluarkan arahan sebegitu namun beberapa agensi lain seperti Jabatan Insolvensi atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan arahan, Jabatan Imigresen akan menjalankan tugas dan tidak membenarkan seseorang itu keluar negara.

“Adalah lebih baik seseorang itu pergi ke pejabat jabatan berkenaan dan berurusan dengan mereka kerana kami mengikut arahan mahkamah untuk menghalang mereka keluar.

“Sekiranya mendapat persetujuan jabatan berkenaan dan kelulusan mahkamah, kami tiada masalah untuk membenarkan seseorang itu keluar,” katanya.

Leave a Reply

Top