MH Online

Laman Suara Rakyat

Tukang Masak Ditipu Sindiket Pinjaman Tidak Wujud

Tukang Masak Ditipu Sindiket Pinjaman Tidak Wujud

KUANTAN, Seorang tukang masak yang memohon pinjaman untuk membesarkan perniagaannya ditipu sindiket pinjaman tidak wujud sehingga mengalami kerugian sebanyak RM17,800.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook pada 1 Oktober lalu dan membuat permohonan pinjaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mengisi butiran peribadinya pada ruangan disediakan dengan jumlah yang mahu dipinjamkan sebanyak RM20,000 untuk kegunaan modal perniagaannya.

“Pada hari sama, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya wakil syarikat pinjaman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyerahkan salinan kad pengenalan, salinan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan salinan penyata akaun syarikat miliknya bagi tujuan semakan kelayakan pinjaman.

“Selepas tiga jam, mangsa dimaklumkan pinjaman sudah lulus dan perlu membuat bayaran untuk mendapatkan wang pinjaman.

“Pada 18 Oktober hingga 24 Oktober lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam dua akaun dengan 11 kali transaksi yang berbeza,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM2,400 namun dia enggan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.