MH Online

Laman Suara Rakyat

Tuduhan Polis Beri Layanan Berbeza Tidak Betul

Tuduhan Polis Beri Layanan Berbeza Tidak Betul

KUALA LUMPUR, Wakil rakyat tetap tertakluk kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulangi peringatan bahawa tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika ingkar PKP, beliau berkata, dalam kes membabitkan individu yang ada jawatan dalam kerajaan, polis sudah memanggil individu berkenaan dan tindakan seterusnya bergantung kepada pihak berkuasa terbabit.

“Tidak betul tanggapan dan tuduhan bahawa ada perbezaan dalam pendekatan polis kepada setiap pesalah yang ingkar PKP,” katanya ketika sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun memaklumkan, wakil rakyat adalah antara individu atau kumpulan yang dibenarkan bertugas seperti jabatan kerajaan yang masih menjalankan tugas, namun mereka masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

“Tidak boleh mengadakan perjumpaan dan penyerahan (bantuan) besar-besaran dengan rombongan kereta yang banyak. Cukup dua atau tiga orang sahaja mengikuti rombongan untuk memberikan makanan atau bantuan lain,” katanya.

Katanya, perkara yang seharusnya dilakukan adalah menggunakan petugas barisan hadapan yang ditetapkan di kawasan masing-masing.

“SOP sudah dikeluarkan kepada semua wakil rakyat dan Ahli Parlimen. Sesiapa saja dalam waktu PKP, mesti mengikuti SOP yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria dilaporkan memohon maaf kepada rakyat susulan tersebar gambarnya bersama sekumpulan individu termasuk seorang timbalan menteri hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi akaun Facebook beliau.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis akan memanggil timbalan menteri yang menghadiri program berkenaan.