IPOH, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji harga barang keperluan rakyat di pasaran agar tidak melebihi daripada kadar yang sepatutnya.

Timbalan Perdana Menteri meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tanggungjawab menubuhkan pasukan itu.

“Kita mendapati harga barangan yang dijual di pasaran sebenarnya sudah mengambil kira kos pengeluaran dan margin keuntungan (tetapi kenaikan harga masih berlaku).

“Apa yang didapati ialah (perbezaan) kos pengeluaran dengan margin keuntungan terlalu tinggi, kita khuatir ada usaha orang tengah yang ambil keuntungan lebih ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jualan Mega 2017@Bulatan Amanjaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; timbalannya, Datuk Henry Sum Agong serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Bagi Menangani Kos Sara Hidup, berkata persepsi rakyat ketika ini ialah kos sara hidup terus meningkat bukan hanya pada harga makanan tetapi juga rumah, kos pengangkutan, utiliti dan perkara berkaitan.

Sehubungan itu, beliau mahu isu kenaikan harga barang itu ditangani segera agar rakyat tidak menjadi mangsa dan akhirnya persepsi negatif ditujukan kepada KPDNKK seterusnya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

“Kita harus ambil langkah serius untuk menangani perkara ini,” katanya sambil menegaskan walaupun secara relatif ekonomi negara bertambah baik, pengguna akhir iaitu rakyat harus diutamakan.

Ahmad Zahid juga meminta rakyat khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar bersedia daripada sekarang untuk berurusan menerusi ekonomi digital sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, realiti dunia sekarang ialah pembayaran tidak lagi menggunakan wang tunai atau membeli belah di pasaran konvesional manakala pesanan tidak lagi secara menelefon, sebaliknya semua dilakukan menerusi internet dan telefon bimbit.

Katanya, beberapa pasaran termasuk di negara China sudah mula beralih kepada ekonomi digital sepenuhnya dan meminta pengusaha PKS mengambil peluang daripada revolusi teknologi maklumat itu.

“Keadaan ini pasti akan datang ke Malaysia dan pada hemat saya, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang (urusniaga di negara ini) akan berubah kepada ekonomi digital,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *