Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Trump Perlu Diberi Peluang Berucap Di Parlimen Britain

Trump Perlu Diberi Peluang Berucap Di Parlimen Britain

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menyampaikan ucapan kepada anggota Parlimen Britain, dalam lawatannya ke negara itu pada Julai ini.

Wakil Parti Konservatif, Patrick Cormack, berkata sebagai pemimpin sekutu Britain yang paling rapat, Trump perlu diberi peluang untuk membuat ucapan di Parlimen.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Speaker Dewan Rakyat Parlimen Britain.

“Pandangan peribadi saya terhadap beliau (Trump) sama sekali tidak ada kaitan dalam hal ini, tetapi kita perlu memberinya peluang untuk berucap kepada kedua-dua dewan,” kata Cormack kepada akhbar The Independent.

Lawatan Trump ke Britain dijangka berdepan bantahan besar-besaran, selepas pengumuman mengenai lawatan kerja itu dibuat pada bulan lalu.

Namun, terdapat laporan yang mencadangkan supaya pemimpin Amerika Syarikat itu diberi peluang untuk berucap di Galeri Diraja, Parlimen, yang sering digunakan dalam majlis penting.

Speaker Dewan Negara Parlimen Britain, Norman Fowler, berkata Raja Sepanyol dan Presiden Colombia pernah diberi peluang untuk berucap di Galeri Diraja di Parlimen, sejak beliau memegang jawatan itu pada 2016.

“Setakat ini, tiada perbincangan dibuat antara Kerajaan United Kingdom dan Dewan Negara mengenai kunjungan Presiden Trump ke Galeri Diraja,” katanya dalam satu kenyataan.

Trump dijangka tiba di Britain pada 13 Julai, selepas ditangguhkan beberapa kali susulan pertikaian diplomatik dan kebimbangan ia bakal mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran. – AFP

Leave a Reply

Top