Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tren KTMB Di Jangka Alami Kelewatan

Tren KTMB Di Jangka Alami Kelewatan

KUALA LUMPUR, Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka berdepan kelewatan, selain penukaran beberapa jadual perjalanan susulan insiden kabel elektrik putus, semalam.

Insiden pada jam 11.30 pagi di Kilometer 361.76 di antara stesen KTMB Rawang dan Kuang, mengakibatkan kedua-dua landasan terpaksa ditutup untuk kerja baik pulih.

KTMB dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bekalan elektrik satu landasan kembali pulih pada jam 5 pagi tadi, manakala kerja penyelenggaraan landasan kedua dijangka selesai jam 5 pagi esok.

“Berikutan hanya satu landasan di antara Stesen Rawang dan Stesen Sungai Buloh hari ini, operasi perkhidmatan tren KTMB akan mengalami beberapa perubahan.

“Perkhidmatan tren bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan melebihi 30 minit daripada jadual asal.

“Kemungkinan juga berlaku pembatalan perkhidmatan tren antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang, namun perkembangan mengenainya akan dimaklumkan oleh petugas stesen,” kata kenyataan itu.

Susulan kejadian itu juga, KTM Berhad memaklumkan, tiga perkhidmatan tren terakhir ke laluan Rawang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh.

“Penumpang akan dibawa menaiki bas dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Rawang untuk meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya menggunakan tren.

“Perkhidmatan tren bagi laluan Batu Caves-Seremban dan Tampin-Batu Caves, selain ETS bagi perjalanan ke utara dari KL Sentral serta Gemas pula beroperasi mengikut jadual sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, penumpang tren 9525 bagi laluan Padang Besar-Gemas, terpaksa dibawa menaiki bas dari Stesen Rawang ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan dengan ETS ke destinasi seterusnya.

Penumpang tren 9520 bagi laluan Gemas-Padang Besar pula akan dipindahkan dengan bas dari Stesen Stesen Sungai Buloh ke Rawang bagi meneruskan perjalanan menggunakan ETS ke destinasi seterusnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari akaun Twitter KTMB di @ktm_berhad.

Leave a Reply

Top