MH Online

Laman Suara Rakyat

TPM Terima Kunjungan Timbalan Menteri Pertahanan Thailand

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Udomdej Sitabutr.

Kunjungan yang berlangsung di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di sini bertujuan membincangkan cadangan pelaksanaan perlanjutan tempoh operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Padang Besar kepada 24 jam.

Ketika bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek secara bersepadu di ICQS di sini, Ahmad Zahid berkata cadangan itu bagi membolehkan pemanjangan waktu operasi di ICQS Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar yang sebelum ini hanya beroperasi selama 18 jam kepada 24 jam.

“Rundingan bersama pihak Thailand adalah bagi membincangkan beberapa perincian terhadap pelaksanaan dan bagi menentukan tarikh pelaksanaan operasi,” katanya.

Dalam program lawatan kerja itu, Ahmad Zahid turut diberi taklimat mengenai status pelaksanaan Projek Cadangan Pembinaan Secara Bersepadu Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam oleh syarikat pemaju, Northern Gateway Infrastructure Sdn. Bhd.

Cadangan pemanjangan waktu operasi ICQS itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 15 Feb lalu bagi memastikan hasrat Malaysia untuk menjadi hab logistik bersepadu dan pintu masuk perdagangan ke rantau Asia Tenggara dapat dicapai.