MH Online

Laman Suara Rakyat

TPM Terima Kunjungan Hoa Binh

PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Tetap Vietnam, Truong Hoa Binh di pejabatnya di Perdana Putra di sini, hari ini.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Hoa Binh ke Malaysia sejak dilantik ke jawatan itu pada 9 April 2016.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan berkata, beliau dan Hoa Binh berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu berkaitan kerjasama dalam bidang keselamatan yang mempunyai kepentingan bersama.

“Malaysia yakin hubungan antara kedua-dua negara boleh dipertingkatkan dalam bidang utama seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan, buruh, tenaga, kebudayaan, belia dan sukan, pelancongan serta pengangkutan.

“Diharapkan jalinan hubungan pemimpin kedua-dua negara akan membuka jalan ke arah pengukuhan hubungan dua hala dan menyediakan platform kerjasama lebih erat, selain memupuk persefahaman antara kedua-dua negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, hubungan diplomatik Malaysia dan Vietnam yang terjalin sejak 44 tahun lalu berkembang dengan baik dan menyeluruh, dengan kedua-dua pihak bekerjasama erat dalam pelbagai sektor.