Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini menggesa anggota UMNO supaya merapatkan saf dengan mereka yang di luar UMNO.

Timbalan perdana menteri berkata ini kerana mereka boleh menjadi kumpulan penentu terhadap kemenangan sesuatu pilihan raya.

“Saya ingin ingatkan diri saya dan rakan-rakan lain bahawa jangan ambil mudah mereka yang berada di luar kepompong UMNO itu sendiri kerana mereka adalah kumpulan penting, menjadi kumpulan penentu.

“Mereka akan membuat keputusan menang atau kalahnya calon-calon kita apabila berada di gelanggang pilihan raya umum,” katanya ketika ditemuramah dalam rancangan ‘Soal Jawab’ terbitan TV3 malam Rabu.

Ahmad Zahid, selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, ditemuramah penolong editor yang juga penyampai TV3, Izwan Azir Saleh.

UMNO, kata beliau, tidak boleh ‘syok sendiri’ dengan program-program yang mereka laksanakan untuk anggota parti, sebaliknya perlu mengambil kira program-program memberi manfaat kepada akar umbi.

Beliau percaya UMNO boleh berjaya dalam mana-mana perang politik sekiranya parti itu menggunakan pendekatan merapatkan saf dengan kumpulan luar UMNO dan menjaga kepentingan mereka.

UMNO perlu bijak mengurus persepsi berikutan cabaran menghadapi peperangan saraf adalah lebih mencabar berbanding peperangan konvensional dalam era teknologi maklumat masa kini, kata Ahmad Zahid.

“Pengurusan persepsi harus dilakukan… walaupun sukar tapi harus kita tangani,” katanya.

Beliau berkata budaya kebencian terhadap UMNO sudah lama ditanam oleh musuh-musuh parti itu dalam usaha memenangi perang saraf tersebut dengan melancarkan serangan bertubi-tubi.

UMNO, kata Ahmad Zahid, tidak harus memandang ringan perkara ini hanya sebagai ‘urusan seperti biasa’.

“Kita mesti menyusun beberapa langkah tertentu bukan hanya menyembur serbuk-serbuk pemadam api tetapi kita harus melakukan jangkauan yang lebih meluas.

“Bukan hanya ‘fire fighting’ kita mesti lihat penyelesaian secara total untuk menangani semua permasalahan itu,” tegasnya.

Menyentuh mengenai kesetiaan anggota UMNO kepada parti itu sekarang, Ahmad Zahid berkata ia merupakan kepercayaan sebati yang telah dipelopori oleh pejuang-pejuang UMNO dari dulu hingga sekarang, iaitu anggota perlu taat setia kepada parti dan bukan taat setia kepada individu.

“Itu yang kami lakukan sekarang, pemimpin datang dan pergi tapi UMNO tetap masih wadah perjuangan untuk Melayu,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *