PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara rasminya mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Isnin ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri berkata Jong-nam ialah orang yang sama dengan pemilik pasport menggunakan nama Kim Chol.

Identiti itu disahkan berdasarkan pada pasport itu, yang menurutnya adalah tulen.

Beliau berkata Jong-nam menggunakan dua identiti berbeza yang mungkin merupakan pasport bagi tujuan penyamaran, dan dokumen itu adalah tulen.

“Identiti beliau disahkan daripada pasport yang kami bandingkan dengan dokumen dikeluarkan oleh Kedutaan Korea Utara dan menerusi identiti yang dikeluarkan kedutaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat dengan pemimpin-pemimpin industri mengenai pekerja asing, di sini.

Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti lelaki Korea Utara itu menerusi DNA lelaki itu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa hospital dan polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana ia merupakan soal pengurusan.

Beliau berkata kerajaan akan memberi kerjasama terhadap sebarang permintaan daripada pihak Korea Utara untuk menuntut mayat, mengikut prosedur operasi standard,

Mayat akan diserahkan kepada waris atau kedutaan selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai, katanya.

“Setakat ini, (tiada) sebarang permohonan rasmi (daripada waris) tetapi mereka (keluarga) mungkin menyalurkan permohonan mereka kepada pihak kedutaan Korea Utara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *