Share on Facebook

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan Laman Media, yang menempatkan ruang kerja serba lengkap bagi pelbagai agensi dan syarikat penyedia berita dan maklumat yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Lebih 1,800 petugas yang mewakili 75 agensi serta syarikat media cetak dan elektronik ?berkampung’ di pusat media itu yang bertempat di Dewan Tun Razak 4, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sepanjang perhimpunan agung UMNO bermula hari ini hingga Sabtu.

Daripada jumlah itu, 61 adalah agensi dan syarikat media tempatan manakala 14 lagi merupakan media antarabangsa yang membuat liputan perhimpunan terakhir UMNO sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Laman Media kali ini menempatkan kesemua media cetak, elektronik dan media sosial di ruang yang sama.

Ia menyediakan ruang kerja yang selesa dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar berbanding lokasi di Bilik Mawar sebelum ini.

Selain kemudahan teknologi multimedia terkini, Laman Media turut dilengkapi bilik sidang media, surau dan ruang makan.

Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, meluangkan masa melawat pusat media itu yang turut menempatkan ruang kerja bagi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Bernama News Channel (BNC) serta beramah mesra dengan para petugas media.

Perhimpunan agung parti tunjang kerajaan Barisan Nasional itu disertai oleh 5,739 anggota perwakilan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *