Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji semangat ketekunan masyarakat Cina negara ini dalam usaha mereka meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

Beliau berkata semangat itu mampu menjadikan masyarakat Cina sebagai kumpulan utama yang akan memacu Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mengagumi semangat ‘tidak pernah mengatakan tidak’ kepada cabaran dan pelbagai usaha untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

“Dengan sumber yang minimum, mereka boleh mengubah kepada keadaan sebaliknya seperti yang ditunjukkan (kapitan Cina) Yap Ah Loy yang telah membuktikan kejayaannya…saya percaya, orang lain juga boleh lakukannya,”katanya pada majlis makan malam ulang tahun ke-13 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) di sini, malam ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan Presiden Persatuan Kontraktor Tenaga Malaysia Datuk Seri Erwan Tahir.

turut hadir Presiden KLCAH Datuk Dr Chai Kee Kan dan lebih 500 tetamu daripada pelbagai pertubuhan perniagaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ahmad Zahid turut memuji aktiviti kemasyarakatan KLCAH yang menyampaikan bantuan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Saya difahamkan pada awal Januari ini, KLCAH akan mengadakan program amal di Bukit Bintang bagi mengagihkan bantuan kepada lebih 1,500 golongan memerlukan seperti gelandangan, orang tua dan anak yatim pelbagai bangsa dan agama.

“Ini mencerminkan semangat 1Malaysia yang sebenar, dan saya sangat kagum dengan usaha KLCAH,” katanya.

Justeru itu, timbalan perdana menteri mahu KLCAH menjadi ‘persatuan untuk semua’ dengan melebarkan skop bantuan kemasyarakatan bagi mengeratkan hubungan pelbagai kaum di negara ini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyumbangkan RM100,000 kepada KLCAH sebagai sumbangan peribadi bagi membantu aktiviti kemasyarakatan pertubuhan itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *