Oleh : Abdullah Karim

SABAK BERNAM, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menaruh keyakinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan di Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada Pilihan Raya umum Kali Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri juga mengarahkan jentera pilihan raya Parlimen berkenaan bekerja keras bagi mengambil semula DUN Sabak yang telah terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya lepas.

Beliau menekankan perkara tersebut ketika menghadiri majlis Santai Rakyat di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd. Taib serta barisan kepimpinan UMNO Sabak Bernam.

Dalam majlis gilang gemilang dan dihadiri ribuan penduduk dari seluruh pelusuk kawasan Sabak Bernam itu, Ahmad Zahid meminta rakyat seluruh Selangor bangun daripada dibuai janji indah pembangkang tetapi janji tersebut hanya gah dengan kata-kata sahaja untuk mengembalikan semula negeri ini kepada BN.

Beliau berkata sekiranya rakyat Selangor tidak mahu berterusan ditipu, mereka harus membulatkan tekad dengan memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh parti pada PRU-14 nanti.

Beliau turut menjelaskan kisah susah payah pemimpin terdahulu yang membangunkan negeri itu sebagai negeri berkemajuan dalam pelbagai perkara termasuk pertanian, tetapi akhirnya orang lain yang mengaut untung.

“Pemimpin terdahulu telah bersusah payah ‘menanam benih padi, membaja dan membajak’ namun dengan senang-senang sahaja orang lain yang menuainya,” katanya.

Oleh yang demikian kata Ahmad Zahid, BN mesti ambil balik Selangor ini daripada pembangkang dan apabila menang nanti segala janji yang dibuat akan dipenuhi oleh pemimpin BN yang ternyata terbukti akan memenuhi setiap janji dibuat.

“Cukup-cukuplah dua penggal mereka memerintah dan pada kali ini Selangor mesti di kembalikan kepada BN,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Menerusi Skuad Tawan Selangor BN tidak akan menoleh ke belakang untuk tawan semula Selangor.

” Bila tidak toleh belakang ertinya kita ke hadapan, bila jalan ke depan jangan hanya lihat langit tetapi lihat juga bumi, lihat kiri dan kanan.

“Di mana bumi dipijak di situlah langit kita junjung. Kita perlu lihat juga rumput di bumi kerana pemimpin dan rakyat berpisah tiada,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *