Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan misi bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi membantu mangsa banjir, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai permulaan, misi tersebut menghantar bantuan ke Kelantan dan Terengganu hari ini manakala negeri lain pula diletakkan dalam keadaan siap sedia.

“Saya berharap misi ini dapat meringankan beban mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan sementara, atau di kampung atau rumah yang dinaiki air dan terputus hubungan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena misi itu.

Pada majlis pelancaran misi itu di perkarangan Blok D di sini hari ini, Ahmad Zahid melepaskan konvoi kenderaan misi bantuan yang terdiri daripada 32 anggota Rela, 10 kereta pacuan empat roda dan lima bot.

Antara sumbangan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir termasuk makanan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung, mee segera, sardin, biskut, susu, ubat-ubatan, tuala wanita, lampin dewasa dan kanak-kanak, telekung dan kain pelekat.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

Pada majlis berasingan sebelum itu, Ahmad Zahid menerima Dokumen Perancangan Strategik KDN Tahun 2017 daripada Alwi.

Dalam ucapannya, beliau berkata KDN perlu mencapai 38 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbanding 22 KPI pada tahun lepas.

Beliau berkata lapan agensi di bawah KDN perlu terus berusaha menterjemahkan 38 KPI yang ditetapkan dengan mencatatkan skor teknikal sebanyak 138 peratus berbanding 123 peratus pada tahun lepas. Ahmad Zahid berkata KDN diletakkan sebagai organisasi yang berada di barisan hadapan khususnya dalam aspek keselamatan.

“Tanggungjawab berat ini tidak harus dilihat sebagai satu bebanan sebaliknya ia adalah satu tahap kebolehpercayaan tinggi yang diletakkan pada KDN untuk mewujudkan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian.

“Maka, kita mempunyai tanggungjawab untuk mempertingkatkan pencapaian sekurang-kurangnya 138 peratus dan menterjemahkan 38 KPI yang ditetapkan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *