MH Online

Laman Suara Rakyat

Tourism Malaysia Galak Promosi Pelancongan Dalam Negara

Tourism Malaysia Galak Promosi Pelancongan Dalam Negara

KUALA LUMPUR, Semua penggiat industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan disaran mempromosi tawaran pakej istimewa dan diskaun menarik membabitkan produk serta destinasi pelancongan domestik secara percuma menerusi malaysia.travel.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, laman sesawang dibangunkan oleh Tourism Malaysia, dibuka khusus kepada ejen pelancongan, hotel dan premis penginapan pelancong.

Katanya, ia adalah satu daripada usaha kementeriannya untuk membantu pihak industri mempromosi pelancongan domestik.

“Langkah ini diharap dapat menyemarakkan lagi kempen Cuti-Cuti Malaysia sekali gus menggalakkan orang ramai keluar melancong bagi menyokong industri pelancongan tempatan yang sudah dibuka semula mulai 10 Jun lalu, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Setakat 2 Julai (semalam), sebanyak 136 pakej dan e-voucher sudah dimuat naik dalam laman sesawang terbabit membabitkan 24 ejen pelancongan tempatan yang sudah mendaftar secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penggiat industri yang berminat untuk mempromosi tawaran pakej dan diskaun menarik bagi produk mahupun destinasi pelancongan masing-masing, perlu menghantar permohonan melalui pendaftaran akaun terlebih dahulu di https://www.malaysia.travel/merchant.