MH Online

Laman Suara Rakyat

Tolak Belanjawan Khianati Rakyat

Tolak Belanjawan Khianati Rakyat

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 yang dijangka diundi di Dewan Rakyat minggu depan disifatkan sebagai mengkhianati rakyat, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan (BN-Arau) berkata, rakyat amat mengharapkan Belanjawan 2021 diluluskan supaya mereka mendapat manfaat sewajarnya selepas terkesan akibat penularan COVID-19.

“Sesiapa sahaja yang menolak belanjawan ini termasuk rakan saya, bekas Menteri Kesihatan, jika tolak belanjawan, itu mengkhianati rakyat.

“Ini kerana rakyat sedang menunggu, kakitangan kerajaan sedang menunggu supaya belanjawan ini diluluskan termasuk mereka yang dibuang kerja.

“Jika kita tolak belanjawan ini, kita (ibarat) menghina mereka (rakyat), kita khianati mereka. Jika kita tolak belanjawan, ini bererti kita menolak amanah rakyat,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sesetengah Ahli Parlimen termasuk Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) ketika sesi perbahasan sebelum ini menyatakan sokongan bersyarat untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Antara syarat yang diberikan ialah pengeluaran simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja Akaun 1 berjumlah RM10,000 secara sekali bayaran dan perlanjutan moratorium secara automatik selama enam bulan.

Najib juga sebelum ini bagi pihak Ahli Parlimen BN menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021.