Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TMM2020 Ketengah Slogan Kembara, Gembira Dan Hormat

TMM2020 Ketengah Slogan Kembara, Gembira Dan Hormat

CHIANGMAI, Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan  ASEAN (NTO) telah bersetuju dengan inisiatif yang konkrit bagi mengembangkan lagi kemudahan dan infrastruktur pelancongan dengan memberi tumpuan menarik pelaburan kepada kumpulan serantau berkenaan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perjanjian yang dicapai NTO semasa mesyuarat dua hari lepas sudah pasti satu hala tuju yang tepat untuk ASEAN menuju masa depan.

“Dengan keluarga ASEAN yang kini terdiri daripada lebih 600 juta orang, kita perlu meningkatkan kerjasama bagi mencapai kestabilan ekonomi,” katanya semasa ucapan intervensi pada mesyuarat ke-21 Menteri Pelancongan ASEAN di sini hari ini.

Selaras dengan kerjasama ini, beliau berkata Malaysia akan menganjurkan bersama Seminar Pelaburan kali pertama ASEAN+3 dengan kerjasama ASEAN-Korea Centre di Seoul, tahun ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri semua menteri pelancongan ASEAN  dipengerusikan Menteri Pelancongan  Thailand Weerasak Kowsurat.

Mohamed Nazri berkata Malaysia juga menyokong penuh inisiatif  ‘Accessible Tourism For All’ (Pelancongan Yang Mudah Diakses Untuk Semua) yang dibincangkan semasa mesyuarat NTO ASEAN.

Malaysia akan bekerjasama dengan kumpulan serantau dalam menyediakan akses yang lebih baik kepada orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak bagi menikmati tawaran pelancongan.

Dalam ucapannya, Mohamed Nazri juga mengumumkan bahawa Malaysia akan mengadakan  Tahun Melawat Malaysia pada 2020 dengan slogan, ‘Travel. Enjoy. Respect’ (Kembara, Gembira, Hormat).

Katanya slogan itu selaras  dengan yang digunakan oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWTO) dalam menggalakkan pembangunan pelancongan lestari di seluruh dunia.

BERNAMA

Leave a Reply

Top