SEREMBAN, Dua eksekutif syarikat yang dipercayai terbabit dalam penipuan skim pembinaan rumah mampu milik di beberapa negeri, hari ini direman dua hari bagi membantu siasatan kes di Nilai.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 30 dan 45 tahun itu turut disiasat berkaitan skim penipuan sama di beberapa negeri lain, bersama-sama seorang lagi suspek yang juga seorang pelakon.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, berkata Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman kedua-dua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan laporan seorang lelaki yang diperdayakan seorang wanita daripada syarikat suspek untuk pembinaan sebuah banglo berharga RM60,000 di Nilai.

“Mangsa sudah membuat pembayaran RM60,000 kepada akaun syarikat terbabit, namun suspek tidak membina rumah yang dijanjikan, sebaliknya memberi pelbagai alasan,” katanya di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini berkata, polis menerima 188 laporan berkaitan penipuan jualan rumah membabitkan dua syarikat dengan nilai kerugian RM6.2 juta.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *