Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tindakan Tegas Terhadap Penganjur Himpunan Serentak Kongres

Tindakan Tegas Terhadap Penganjur Himpunan Serentak Kongres

KUALA LUMPUR, Anggota PKR yang menganjur atau hadir pada himpunan berasingan yang diadakan serentak dengan Kongres Nasional PKR akan dikenakan tindakan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menegaskan tindakan akan diambil kerana ia bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap kumpulan yang menganjurkan himpunan serentak dengan kongres berkenaan, sama ada diberi amaran, digantung atau dipecat.

“Kongres parti mana-mana sekali pun pun tetap ada satu saja perhimpunan, tak boleh ada dua perhimpunan.

“Ya (boleh diambil tindakan). Kita akan ambil tindakan mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan parti.

“Belum ada lagi, macam mana kita nak tahu (bentuk tindakan yang akan dikenakan). Kita tunggu la, mungkin kadang-kadang acah saja,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan kumpulan dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merancang mengadakan satu himpunan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Berhubung kenyataan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar menegaskan tidak mahu mengambil serius perkara itu.

“Ini bukan Parlimen nak buat undi tidak percaya. Saluran dalam parti adalah melalui usul yang dibuat di mesyuarat agung tahunan setiap Cabang.

“Setiap mesyuarat agung sudah pun sempurna diadakan, dan tidak ada satu pun usul berkaitan perkara ini dibangkitkan, ini hanyalah usul minit akhir, yang teringat baru nak cakap, jadi ini saja acah saja.

“Lagi pun tidak penting, ini bukan usul cabang dan sebagainya, hanyalah dua, tiga orang AMK yang baru kenal Keadilan, jadi pada saya kita tidak anggap ini satu perkara serius,” katanya.

Ditanya sama ada Anwar dan Mohamed Azmin perlu berdamai menjelang Kongres Nasional PKR, Shamsul Iskandar berkata: “Insya-Allah, kita sama-sama doa.”

Leave a Reply

Top