MH Online

Laman Suara Rakyat

Tindakan Rafiq Keluar Umno Tidak Beri Kesan Kepada Parti – Khairy

Tindakan bekas Exco Pemuda UMNO Mohd Rafiq Naizamohideen yang keluar daripada UMNO baru-baru ini tidak memberi kesan yang besar kepada parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan masih ramai lagi anggota-anggota akar umbi di seluruh negara yang tetap setia kepada dasar perjuangan UMNO.

Malah beliau berkata Mohd Rafiq sebelum ini telah digantung keanggotaannya selama enam tahun kerana didapati terlibat dalam usaha menjatuhkan pimpinan parti.

“Beliau (Mohd Rafiq) terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan Presiden parti…kita hantar laporan kepada lembaga disiplin yang bebas dan mereka telah membuat keputusan jadi kita perlu terima,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mohd Rafiq yang mengumumkan keluar parti bersama 28 bekas pemimpin cawangan UMNO lain baru-baru ini.

Khairy berkata UMNO merupakan parti politik yang mengamalkan demokrasi dan tindakan keluar dan masuk parti adalah proses biasa dalam sesebuah parti.