Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tindakan Jika Harga RON95 Lebih RM2.50

Tindakan Jika Harga RON95 Lebih RM2.50

PUTRAJAYA, Kerajaan akan kenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak sekiranya harga runcit petrol RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kerajaan memilih pendekatan itu berdasarkan trend kenaikan harga minyak mentah dunia kebelakangan ini.

“Langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini mencecah lebih AS$60 (RM249.60) setong,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan juga menjelaskan pada masa ini kerajaan melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia, yang berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

Katanya, penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing secara mingguan iaitu purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

Sekiranya harga minyak mentah dunia naik, maka harga runcit produk petroleum turut naik. Sebaliknya harga runcit produk petroleum akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun.

Pada masa ini, kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan selain gas memasak.

Leave a Reply

Top