Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi perhatian serta pertimbangan sewajarnya terhadap semua bantahan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, bantahan-bantahan tersebut akan dimaklumkan menerusi Pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kali kedua.

“SPR sentiasa bersikap terbuka dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya untuk melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah ini dengan adil dan saksama serta mematuhi setiap peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan SPR tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu setelah mendapati kerajaan negeri itu mengikut semua peraturan berkaitan permohonan berkenaan dan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan itu.

Beliau juga berkata, Kerajaan Selangor mempunyai hak untuk membantah cadangan persempadanan semula itu.

Dalam pada itu, bagi pihak SPR, Mohd Hashim ingin memaklumkan pihaknya akur dengan keputusan yang telah ditetapkan mahkamah.

“Untuk makluman, sehingga 16 Disember, SPR telah menjalankan prosiding siasatan tempatan kali pertama bagi bantahan-bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Selangor). Negeri-Negeri yang terlibat adalah Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

Manakala perlaksanaan prosiding siasatan tempatan kali pertama bagi bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah juga telah selesai dijalankan pada 28 Oktober lalu dan Notis Pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sabah untuk Kali Kedua juga telah dipamerkan bermula pada 22 November hingga 21 Disember,” katanya lagi.

Difahamkan, pada sepanjang tempoh prosiding siasatan tempatan kali pertama itu dijalankan pada 23 Oktober hingga 16 Disember,pihaknya telah mendengar sebanyak 276 representasi bantahan yang layak mengikut undang-undang iaitu 13 bantahan bagi Unit Negeri Sabah dan 263 bantahan bagi Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Selangor).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *