MH Online

Laman Suara Rakyat

Tidak Perlu Pakai Topeng Jika Sihat

Tidak Perlu Pakai Topeng Jika Sihat

KUALA LUMPUR, Tiada keperluan bagi individu sihat memakai topeng muka di tempat awam berikutan penggunaan alat perlindungan itu sepatutnya hanya digunakan individu yang sakit.

Pakar Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee, berkata setiap individu harus memainkan peranan membantu menyimpan bekalan topeng itu untuk kegunaan pekerja kesihatan yang lebih memerlukan dengan hanya membeli peralatan itu jika perlu.

“Hanya pakai topeng penutup hidung dan mulut jika anda tidak sihat dan terpaksa keluar ke tempat awam bagi meminimumkan risiko kepada individu lain tetapi jika anda boleh hanya duduk di rumah, itu lebih baik.

“Selain itu, saya rasa tiada keperluan untuk orang awam yang sihat untuk menggunakan topeng penutup hidung dan mulut kecuali jika mereka menjaga ahli keluarga yang tidak sihat di rumah.

“Seeloknya bekalan topeng penutup hidung dan mulut itu diperuntukkan kepada pekerja kesihatan yang lebih memerlukan, …bagi mereka yang sihat, cuba jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter atau hindari tempat yang ramai orang, ” dipetik sebagai berkata.

Hingga kini, bekalan topeng muka di beberapa buah farmasi di Lembah Klang kehabisan stok dipercayai akibat pembelian panik oleh orang ramai akibat penularan COVID-19.

Pada masa sama, Dr Christopher yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan) berkata, penjagaan kebersihan tangan adalah lebih penting dan ia boleh dilakukan dengan menggunakan air dan sabun yang disifatkan lebih baik selain cecair pembasmi kuman.

“Basuh tangan dengan air dan sabun adalah keutamaan namun boleh juga menggunakan cecair pembasmi kuman, …selain itu jangan kerap menyentuh muka terutama mata, hidung dan mulut dengan tangan tidak bersih, ” katanya.

Presiden dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, pula berkata kaedah terbaik yang boleh diamalkan kini ialah penting untuk orang ramai membuat penjarakan sosial di tempat awam sekurang-kurangnya satu meter dari individu lain termasuk ketika beratur.

Ia adalah salah satu kaedah kesihatan awam untuk mengurangkan kadar penularan sesuatu wabak, sekali gus berupaya mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan negara.

“Selain itu, penggunaan topeng yang sesuai digunakan pesakit ialah jenis topeng pembedahan dan pastikan ia tidak diguna pakai semula dan dibuang di tempat yang tertutup bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

“Orang ramai juga diminta untuk menjaga kebersihan diri kerana ia boleh mengurangkan jangkitan penyakit berjangkit seperti basuh tangan dengan sabun secara kerap atau setiap kali menyentuh permukaan seperti tombol pintu dan pam minyak,” katanya.

Orang ramai juga harus mengelak daripada memegang muka kerana tangan yang terdedah kepada virus boleh tersebar ke salur pernafasan sekali gus menyebabkan jangkitan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata isu kekurangan bekalan topeng muka di pasaran seluruh negara, akan dibincang pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Beliau mengakui pembelian panik berikutan kebimbangan orang ramai terhadap COVID-19, menjadi punca utama kekurangan bekalan topeng.

Jelasnya, siasatan dilakukan pegawai di KPDNHEP mendapati tiada aktiviti menyorok topeng bertujuan menaikkan harga oleh pemborong dan peniaga barangan berkenaan.

“Pegawai dan anggota KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan serta pemantauan, tindakan akan dilakukan jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga bahan itu.

“Kerajaan sudah mengisytiharkan bahawa topeng muka adalah barang kawalan dan tindakan menaikkan harga boleh dikenakan tindakan, ” katanya.