MH Online

Laman Suara Rakyat

Tidak Perlu Lakukan Pergerakan Panik

Tidak Perlu Lakukan Pergerakan Panik

KUALA LUMPUR, Orang ramai tidak perlu melakukan pergerakan panik susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menitipkan peringatan itu, Perdana Menteri berkata, mana-mana rakyat yang masih berada di kampung ketika ini dinasihatkan terus berada di sana sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Tidak perlu bergegas pulang ke Kuala Lumpur hujung minggu ini, duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.

“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tidak perlu balik ke asrama lagi, tunggu dulu. Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi.

“Jika ada perkara penting yang nak diuruskan dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya.

“Jangan panik dan kekal tenang. Walaupun kita lanjutkan tempoh PKP, anda tidak perlu menambah bekalan makanan secara membuta-tuli.

“Saya beri jaminan, bekalan makanan adalah mencukupi untuk semua. Saya tahu anda semua terbeban, tapi kita tidak ada pilihan,” katanya pada perutusan khas, hari ini.