Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tidak Kisah Digelar YB Kurang Akal

Tidak Kisah Digelar YB Kurang Akal

Oleh : Abdullah Karim

PUTRAJAYA, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah antara pemimpin politik di Melaka yang sering menimbulkan pelbagai kontroversi bagi menarik perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyelesaikan masalah rakyat.

Terbaru, Ahli Parlimen Tangga Batu itu duduk bersila di atas jalan raya sambil berdoa. Video tersebut tular di seluruh negara sehinggakan ada beberapa pihak kata beliau adalah wakil rakyat ‘kurang akal’.

Namun bagi Abu Bakar apa yang dilakukan beliau bukan kerana kurang cerdik ataupun kurang akal sepertimana dakwaan seorang dua wakil rakyat di Melaka, sebaliknya beliau berpendapat itulah cara terbaik untuk menarik perhatian PBT bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh para pengundinya.

“Dalam isu Jalan Bukut Berlian ini. Ia adalah jalan potong dan pintas dari Air Salak ke Paya Rumput dan Kelebang Jaya. Ia merupakan sempadan tiga DUN iaitu DUN Pantai Kundur, Klebang dan Sungai Udang.

“Setiap hari jalan ini digunakan hampir 20 hingga 30 ribu pengguna pada setiap hari sebab ia jalan pintas. Kawasannya gelap kadang-kadang lampunya menyala dan ada kalanya, tidak,” katanya ketika di temui di pejabatnya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Menurut beliau, dua tahun lepas, beliau pernah duduk di atas jalan tersebut setelah mendapat komplen daripada orang ramai mengenai lubang yang tidak diturap. Setelah pihak PBT mengetahui menerusi facebook, pihak PBT mengambil langkah segera dengan menurap jalan tersebut.

Bagaimanapun Abu Bakar mendakwa, pihak berkenaan tidak melakukannya dengan sebaik mungkin. Sebaliknya menurap ala kadar sahaja dan lubang berkenaan terus membesar sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Selepas dua tahun saya tengok jalan tersebut lubangnya makin besar. Rupanya PBT itu buat kerja ala kadar sahaja. Jadi saya buat keputusan duduk semula di jalan tersebut, kalau dulu saya tak berdoa, kali ini saya berdoa. Pada mulanya saya ingat nak pakai songkok, tapi tak jadi sebab saya nak tengon respon PBT dulu,” katanya.

Abu Bakar berkata selain daripada itu,  peristiwa seorang anak muda patah pinggang akibat jatuh ke dalam lubang jalan tersebut antara sebab beliau menebalkan muka duduk bersila di Jalan Berlian itu tanpa memperdulikan protokol sebagai seorang Timbalan Menteri.

Abu Bakar berkata tidak timbul soal beliau mahu mencari publisiti murahan atau ada sebab-sebab lain apabila berbuat demikian. Sebaliknya niatnya hanya satu iaitu mahu melihat kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Ir. Idris Harun ini disokong oleh pengundi hasil daripada keberkesanan pemimpin menjalankan amanah yang dipertanggung jawabkan kepada mereka.

“PBT ini adalah barisan hadapan kerajaan. Kalau PBT dapat melaksanakan tugas, saya kira rakyat akan suka. Apabila suka sudah tentu mereka akan menyokong kita (kerajaan),” katanya.

Mengenai kedudukan dirinya sama ada dicalonkan semula atau tidak pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU14) nanti, beliau menyerahkan kepada Pengerusi UMNO Melaka untuk menentukannya.

Kata beliau ketika namanya diangkat pada PRU13 dulu, Ketua Menteri tidak pula memberitahunya bahawa beliau akan diberi peluang sekali lagi setelah menamatkan khidmat baktinya selama lima tahun sebagai wakil rakyat.

“Jadi saya rasa eloknya perkara ini diserahkan sahaja kepada CM (Ketua Menteri). Saya serah semua benda kepada Ketua Bahagian (Idris adalah Ketua) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menentukannya,” ujar beliau.

Bercakap mengenai Idris pula, Abu Bakar berkata Ketua Menteri itu merupakan seorang pemimpin berfikiran besar serta ada visi dan misi untuk memajukan Melaka pada masa hadapan.

“Kadang kada orang tengok muka dia muka tak ‘friendly’. Sebab itu orang kata dia sombong dan sebagainya. Tetapi bagi saya CM kita ini seorang pemimpin berjiwa besar dan ada cita-cita tersendiri.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kita jangan sekali-kali membandingkan beliau dengan pemimpin terdahulu. Pemimpin dahulu dah 20 tahun jadi ketua sedangkan Datuk Idris baru lima tahun jadi CM. Kita beri peluang pada beliau untuk tadbir Melaka dengan caranya sendiri,” katanya.

 

Leave a Reply

Top