Anda di sini!
Utama > Sukan > Tiada Sesiapa Mahukan VAR

Tiada Sesiapa Mahukan VAR

Pemain tengah West Ham Declan Rice mendakwa tidak ada sesiapa mahukan VAR dalam Liga Perdana Inggeris selepas sistem kontroversi itu menyebabkan skuadnya tewas 1-0 di Sheffield United.

Ketinggalan susulan jaringan Oliver McBurnie di babak kedua, anak buah David Moyes menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan apabila Robert Snodgrass menyempurnakan hantaran Rice.

Tetapi ketika West Ham meraikan jaringan, gol berkenaan dinafikan VAR yang mendakwa bola terkena tangan Rice.

Bola itu ditanduk ke arah tangan Rice oleh pemain Sheffield, dan walaupun keputusan VAR itu tepat, pemain England berkenaan tidak dapat menerimanya.

“Kami semua panas hati. Saya baru menyaksikannya kembali. Dia menanduk bola ke arah tangan saya. Jika anda berlari dengan tangan seperti itu sekarang, ia adalah kesalahan tetapi bukan disengajakan,” kata Rice.

“Ia tidak adil. Saya rasa semua pemain Liga Perdana Inggeris rasa begitu, bukan hanya saya. Hampir semua orang tidak mahu VAR dalam permainan.

“Terlalu banyak keputusan musim ini yang tidak masuk akal. Mereka meraikan keputusan VAR seperti satu jaringan dan bola sepak tidak sepatutnya begitu.”

Keputusan itu memaksa Moyes menelan kekalahan pertamanya selepas tiga perlawanan mengendali skuad berkenaan buat kali kedua.

“Kami kecewa. Kami menjaringkan gol tetapi tidak dikira. Pertahanan menanduk bola ke arah Declan,” kata Moyes.

“Mereka silap kerana ia permainan yang bersih oleh Declan. Di mana dia mahu meletakkan tangan, ikat di belakang?”

West Ham kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran. – AFP

Leave a Reply

Top