MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Tiada Sebab Untuk Rombak Kabinet’

'Tiada Sebab Untuk Rombak Kabinet'

PUTRAJAYA, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tiada rombakan barisan Kabinet akan dilakukan.

Perdana Menteri berkata, beliau berpuashati dengan prestasi anggota Kabinetnya dan tidak nampak sebarang keperluan bagi rombakan dilakukan.

“Tiada sebab untuk penstrukturan ini, tidak akan berlaku rombakan Kabinet. Adakah ini jelas? katanya pada sidang media setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tetap yakin dengan barisan Kabinet yang dipilihnya yang akan menjadi sebagus anggota berpengalaman yang lain.

“Saya seorang yang sangat konservatif dan pernah berada dalam kerajaan selama kira-kira 20 tahun sekali gus mengetahui bagaimana kerajaan berfungsi.

“Barisan Kabinet ketika ini masih baharu dan mereka juga dilihat khuatir dituduh melakukan penyalahgunaan menyebabkan mereka sukar membuat keputusan.

“Kadang-kala mereka datang kepada saya sebab saya ada pengalaman, saya cuba ajar serta memberi tunjuk ajar agar mereka boleh berprestasi baik. Namun begitu mereka pantas belajar,” katanya.