MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Tiada Perbincangan Politik’

‘Tiada Perbincangan Politik’

KOTA KINABALU, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan spekulasi beliau mengadakan perbincangan politik dengan pemimpin UMNO.

Ia berikutan penyebaran gambar yang memaparkan Ahli Parlimen Semporna itu duduk semeja dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Shafie sebaliknya menjelaskan, gambar itu diambil ketika beliau makan malam bersama kedua-dua pemimpin berkenaan sempena majlis tahlil ibu Najib, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, malam kelmarin.

“Saya menghadiri majlis tahlil untuk arwah Tun Rahah, ia tiada kaitan dengan politik.

“Saya secara peribadi mengenali keluarganya dan saya hadir sebagai tanda hormat kepada Tun Rahah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak dapat menghadiri pengebumian Tun Rahah pada minggu lalu kerana berada di Sabah untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula pada 18 Disember hingga 23 Disember.

Katanya, Raja Permaisuri Agung, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada majlis tahlil berkenaan yang diadakan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

“Saya kemudian ikut sama makan malam yang diadakan selepas majlis tahlil itu,” katanya.