Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai Orang Asli terlibat dalam rasuah atau laporan daripada masyarakat itu mengenai kes rasuah, kata Timbalan Pengarah SPRM Perak Mohamad Hassan.

Beliau berkata keadaan itu mungkin disebabkan masyarakat pribumi tersebut sememangnya tidak terlibat dengan rasuah atau terdapat kalangan mereka yang tahu mengenai jenayah kolar putih itu tetapi tidak mengetahui saluran betul untuk membuat laporan.

“Memang tidak ada sebarang aduan dilaporkan oleh masyarakat Orang Asli atas sebarang isu (rasuah). Saya percaya mereka tahu ada amalan rasuah berlaku di sekitar mereka, tetapi tidak tahu bagaimana untuk melaporkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sembang santai ‘Hatimu Hatiku Jua’ bersama masyarakat Orang Asli sempena program merakyatkan SPRM bersama Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) di Kampung Orang Asli Desa Permai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini, semalam.

Program sehari itu anjuran bersama SPRM, C4, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Biro Pengaduan Awam dan disertai lebih 100 orang terdiri daripada ketua dan pemimpin Orang Asli dari seluruh negara.

Mohamad menggesa masyarakat Orang Asli yang mempunyai maklumat mengenai kes rasuah supaya tampil membuat laporan di pejabat SPRM Ipoh atau cawangan berdekatan iaitu di Taiping dan Teluk Intan.

Beliau berkata pemberi maklumat tidak perlu risau untuk membuat laporan mengenai kes rasuah kerana identiti dan aduan yang dibuat, dirahsiakan selain SPRM tidak sesekali bersubahat bagi menggagalkan siasatan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata SPRM mengambil inisiatif dengan memberi pendedahan tentang cara pencegahan rasuah kepada masyarakat Orang Asli menerusi program merakyatkan SPRM yang julung kali diadakan itu.

“Pada program ini SPRM membuka kaunter untuk mengajar bagaimana cara-cara membuat aduan rasuah, selain mendengar masalah yang ingin dikemukakan kepada SPRM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jakoa Suhaimi Mahmud, berkata mengikut rekod pihaknya, masyarakat Orang Asli tidak terlibat dengan memberi atau menerima rasuah.

“Cuma ada segelintir daripada mereka yang tidak mematuhi garis panduan dan sebagainya dan kami siasat perkara itu,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *