PUTRAJAYA, Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tempoh permohonannya tamat tengah malam semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tempoh secukupnya telah diberikan dan majikan serta PATI yang gagal membuat permohonan akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kerajaan tidak menyekat mereka (pekerja asing) mencari rezeki halal di negara ini. Maka, majikan dan pekerja perlu bertanggungjawab.

“Jabatan Imigresen telah beberapa kali memberi amaran. Kita juga memberi tempoh secukupnya. Kalau ada majikan atau persatuan majikan memohon lanjutan, saya tidak fikir perkara itu boleh dilakukan. Tindakan tegas menanti mereka,” kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau, Sri Satria, di sini.

Permohonan E-Kad bermula 15 Feb lalu dan sehingga 10 malam tadi, hanya 23 peratus atau 161,056 PATI didaftarkan. Ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145, 571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.

Majikan yang didapati melakukan kesalahan menggaji, melindungi PATI dan bersuhabat serta membenarkan PATI tinggal di premis mereka akan turut dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Antara tindakan boleh dikenakan kepada majikan termasuk denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata majoriti PATI yang mendaftar untuk program itu adalah dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *