KUALA NERANG, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan prasyarat wajib lulus Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ia termaktub dalam Perlembagaan sebagai Bahasa Kebangsaan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“SPM wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, makna kalau awak tak lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, maka tak luluslah SPM. Jadi maknanya di Malaysia ini dua kertas wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Kalau dah diwajibkan lulus dalam SPM, yang menjadi teras semua jenis peperiksaan di Malaysia ini maknanya sudah tentunya mata pelajaran itu termaktub dalam Perlembagaan negara yang meletakkan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, bukan itu sahaja, Bahasa Melayu juga berada di kelasnya sendiri apabila rakyat pelbagai kaum di negara ini boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan tidak ada alasan prasyarat Bahasa Melayu hendak dilonggarkan bagi menjawat jawatan dalam kerajaan.

“Maknanya itulah kenyataan saya bahawa Bahasa Melayu wajib lulus untuk SPM, kena boleh bertutur oleh semua rakyat Malaysia tanpa latar belakang, itu saja,” katanya selepas majlis Pelancaran Menarik Di Padang Terap #Agropreneur dan Jamuan Aidilfitri di Pusat Informasi Pelancongan daerah Padang Terap di sini, pada selasa.

Pada program itu, Mahdzir turut menyampaikan sijil Kursus Pengendalian Pusat Pelancongan kepada 23 peserta terdiri daripada pengusaha Santuari Ikan Sungai, Mango Farm 1, Semeliang Agro Farm Resort, Jelutong Kelulut Madu, Vegetable Valley, Rumah Madu dan Padi Wangi Kedah.

Pada 2 Julai lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarat lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilonggarkan bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Katanya kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti, dan beberapa kategori lain.

Akta Perubatan 1971 telah memperuntukkan di bawah Seksyen 13 (2) bahawa seseorang graduan perubatan yang diberi Pendaftaran Sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum boleh diberi Pendaftaran Penuh sebagai seorang Pegawai Perubatan yang bertauliah.

Katanya Seksyen 40 Akta yang sama turut menetapkan bahawa Pegawai Perubatan perlu juga menjalani khidmat wajib di dalam sektor awam setelah diberi Pendaftaran Penuh.

Pada sidang media sama, Mahdzir berkata KPM bersetuju menyerahkan kes buli yang berlaku di sekolah-sekolah diurus dan dikendalikan pihak polis berbanding pihak sekolah seperti sebelum ini.

Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai langkah berkenaan bagi mengekang kegiatan buli yang semakin menjadi-jadi dan dilihat mempunyai unsur jenayah.

“Kalau kenyataan itu daripada Timbalan Perdana Menteri saya terimalah kerana ada kes melibatkan elemen-elemen jenayah yang perlu dikendalikan oleh pihak polis dan saya sokong kenyataan itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mahdzir menyarankan agar pihak pentadbiran sekolah melaporkan segera kepada pihak polis jika kejadian buli pelajar berlaku di sekolah dengan tidak menyembunyikan kejadian itu.

“Pihak sekolah tidak boleh menyembunyikan sesuatu kes jika melibatkan jenayah dan perkara ini mestilah diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mahu kes buli dikendalikan pihak polis berbanding sekolah sebelum ini berikutan kes buli juga dilihat mempunyai unsur-unsur jenayah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *