Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada Kompromi Pegawai, Penguatkuasa Terlibat Rasuah

Tiada Kompromi Pegawai, Penguatkuasa Terlibat Rasuah

KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang terlibat dalam kes rasuah.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil supaya jenayah sebegitu tidak merosakkan integriti jabatan dan agensi di bawah KDN.

“Tidak kira apa jawatan atau kedudukannya, saya tidak berasa malu dan akan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat jadi ‘pegar makan padi’ ini,” katanya.

Tegasnya: “Saya mahu lihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di barisan hadapan walaupun kita terpaksa potong ‘kaki dan tangan diabetik’ yang merosakkan seluruh ‘badan’. Kita harus bersih dan kelihatan bersih.”

Ahmad Zahid berucap pada majlis perjumpaan bersama 378 peserta program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) 2016 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata walaupun indeks jenayah menurun namun persepsi masyarakat terhadap pegawai penguat kuasa masih tidak berubah, ditambah dengan siasatan rasuah dan salah guna kuasa dikaitkan dengan segelintir pegawai dan anggota polis di Melaka dan Bukit Aman.

Sementara itu, beliau mengingatkan peserta program DPA yang akan mula berkhidmat dalam skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik minggu depan untuk sentiasa menanamkan sifat setia kepada pemimpin dan kerajaan hari ini.

“Apabila ada Kabinet baharu lepas pilihan raya umum atau rombakan Kabinet, akan ada menteri yang datang dan pergi.

“Tetapi kita harus tahu janganlah kita berbelah bahagi walau siapapun menteri itu. Hormat yang lama dan sayang yang baharu,” katanya.

Ahmad Zahid juga mengingatkan mereka supaya bekerja keras dan sentiasa membawa semangat negara tidak kira walau di mana mereka ditempatkan bertugas sama ada di dalam atau luar negara.

Leave a Reply

Top